Peranan Ibu Bapa dalam Menerapkan Semangat Patriotik dalam Jiwa Anak-Anak (Karangan Panjang SPM)

         Memang tidak dapat disangkalkan bahawa semangat patriotik merupakan satu sifat yang harus ditanam dalam sanubari setiap warganegara Malaysia. Semangat patriotik dapat ditakrifkan sebagai perasaan cinta dan kasih yang mendalam terhadap negara serta kesanggupan berkorban demi tanah air tercinta. Namun begitu, semangat patriotik semakin pudar dalam kalangan remaja pada masa kini. Hal ini amat membimbangkan  para pemimpin negara kita kerana remaja merupakan golongan yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara ini. ” Jika diberikan aku seratus orang tua, pasti akan saya menterbalikkan perahu yang terbalik. Jika diberikan aku sepuluh orang belia waja, pasti akan saya gegarkan dunia.” Bait-bait susunan retorik mantan Presiden Indonesia yang pertama, yang penuh puitis menggambarkan kepentingan golongan muda dalam pentadbiran sesebuah negara. Golongan remaja tidak mempunyai semangat patriotik kerana mereka telah lahir di sebuah negara yang sudah mengenal erti kebebasan. Mereka tidak mengetahui susah payah para tokoh pejuang negara kita untuk mencapai kemerdekaan. Mereka tidak mengalami penderitaan yang dialami nenek moyang kita sewaktu penjajah Jepun menjajah Tanah Melayu pada tahun 1942. Tentera Jepun yang zalim telah membakar rumah penduduk dan membunuh mereka. Meskipun remaja diajar mata pelajaran Sejarah dalam sukatan sekolah, mereka tidak dapat memahaminya sepenuhnya kerana tidak hidup pada zaman itu. Kesannya, masa hadapan negara kita akan terjejas kerana tidak memiliki pemimpin yang sayang akan negaranya. Ekonomi negara juga akan tergugat. Persoalan yang sering bermain-main di benak orang ialah apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

         Bahasa Sanskrit bahasa lama, fakta konkrit meneruskan mata pena. Sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah coraknya. Jika biru, birulah coraknya. Pencorakan ini amat penting dalam menentukan sanubari anak-anak pada masa hadapan. Peranan ibu bapa yang utama adalah dengan memperkenalkan cerita rakyat kepada anak-anak. Hal ini lebih baik daripada membacakan cerita-cerita dongeng dari Barat kepada anak-anak. Contoh cerita dongeng dari Barat termasuklah ‘Cinderella’, ‘ Snow White and The Seven Dwarfs’ dan ‘ The Little Prince’. Ibu bapa seharusnya menceritakan perjuangan tokoh-tokoh lama yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir. Misalnya, ibu bapa boleh membeli buku-buku cerita rakyat dari kedai buku. Kemudian, ibu bapa boleh membacakan cerita tokoh-tokoh tersebut kepada anak-anak sebelum mereka tidur. Implikasinya, anak-anak akan terdedah kepada tokoh-tokoh negara seperti Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Rentap dan Dato’ Maharaja Lela. Mereka dapat merasakan semangat tokoh yang berkobar-kobar untuk mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman penjajah luar. Darah para tokoh yang penuh semangat patriotik akan turut mengalir dalam tubuh para remaja masa kini. Semangat patriotik ini perlu dipupuk sejak usia muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharlah bahawa, peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah dengan memperkenalkan cerita rakyat kepada anak-anak.

         Bertitik tolak daripada itu, peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah dengan membawa anak-anak melawat tempat bersejarah. Hal ini dikatakan demikian kerana, tempat bersejarah mengandungi warisan tokoh-tokoh dahulu. Tamsilnya, ibu bapa boleh meluangkan masa pada musim cuti sekolah untuk membawa anak-anak melancong ke negeri Melaka. Di situ, ibu bapa dapat membawa anak-anak melawat Kota A’ Famosa. Kemudian, ibu bapa harus menerangkan sejarah tempat tersebut iaitu peristiwa penjajahan oleh orang Portugis yang ingin mengeksploitasi hasil bumi negeri Melaka. Pameran di Kota A’ Famosa telah direka untuk menceritakan warisan Melaka kepada para pelawat dengan kaedah yang menarik. Akibatnya, anak-anak dapat memahami sejarah negara kita dengan lebih mendalam kerana berada di tempat kejadian perang-perang tersebut. Mereka dapat melihat dengan mata sendiri senjata yang digunakan oleh para pejuang negara dan membayangkan pengorbanan mereka demi negara tercinta. Hal ini secara tidak langsung akan mempengaruhi anak-anak meneruskan aktiviti ini pada masa hadapan kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Mereka akan mengambil inisiatif untuk melawat tempat bersejarah tanpa ibu bapa tetapi secara sendirian. Dengan ini, mereka akan terus menimba ilmu tentang warisan negara sampai bila-bila. Pendek kata, ibu bapa wajar membawa anak-anak melawat tempat bersejarah bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Selanjutnya, peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah dengan meraikan sambutan ‘ Bulan Kemerdekaan’. ‘Bulan Kemerdekaan’ merupakan satu program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan bersempena dengan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. Ibu bapa mesti meraikan ‘ Bulan Kemerdekaan’ setiap tahun dalam kalangan anggota keluarga. Sebagai contohnya, ibu bapa mesti menghias rumah bersempena sambutan ini. Ibu bapa dan anak-anak perlu berganding bahu menghias dinding dengan bendera-bendera negeri Malaysia. Bagi menjimatkan wang, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak melukis dan mewarnai bendera sendiri. Hal ini secara tidak langsung akan juga menampilkan bakat anak-anak dalam seni lukis dan meningkatkan kreativiti anak-anak. Kemudian, ibu bapa mesti menggantung ‘Jalur Gemilang’ di bahagian luar rumah untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka. Kesannya, kerja-kerja menghias rumah ini akan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak supaya menjadi seperti isi dengan kuku. Bukan itu sahaja, malah semangat patriotik dalam jiwa anak-anak akan bertambah kuat saban tahun. Hal ini juga dapat mengalakkan penduduk kawasan perumahan itu mencontohi teladan ibu bapa. Jelaslah bahawa, ibu bapa berperanan meraikan sambutan ‘ Bulan Kemerdekaan’ untuk menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

         Selanjutnya, peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke Putrajaya pada Hari Kemerdekaan. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak dapat menikmati semua persembahan yang menarik dalam perarakan tersebut. Misalnya, anak-anak dapat mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ sambil menyanyi lagu-lagu patriotik. Mereka juga dapat melihat kawad kaki para askar negara yang penuh kebanggaan dan semangat patriotik. Anak-anak yang masih berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang dan memiliki semangat inkuiri akan mempelajari banyak tentang warisan dan budaya negara kita. Impaknya, pengalaman ini akan merangsang minat para remaja untuk berkhidmat demi negara dan berusaha keras untuk membangunkan negara pada masa hadapan. Izharnya, peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke Putrajaya pada Hari Kemerdekaan.

                  Tuntasnya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat pelbagai peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Oleh itu, ibu bapa mesti berusaha menanamkan semangat patriotik ini dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi. Namun begitu, kita tidak boleh mengharapkan usaha satu pihak semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Jadi, semua pihak perlu bersinergi ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk melahirkan generasi masa hadapan yang mencintai negara. Sekiranya kemelut ini tidak ditangani secara bijak dan berhemat ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak, sudah pasti aspirasi para pemimpin negara untuk menempa nama di persada dunia akan menjadi angan-angan Mat Jenin. Jika hal ini dibiarkan berterusan dan tidak dinoktahkan maka tidak hairanlah impian negara untuk menjadi negara yang disanjungi oleh mata dunia tidak kesampaian. Diharapkan komitmen padu daripada semua rakyat Malaysia dapat memastikan rakyat kita menjadi warganegara yang cinta akan negara. Remaja yang menjadi dan generasi pelapis negara pada masa hadapan diharapkan mempunyai semangat patriotik yang berkobar-kobar untuk memajukan negara kita. Jika kumpulan generasi ini dapat dilahirkan sudah pasti mereka dapat menjadi kebanggaan masyarakat dan negara hingga puncak antarabangsa.

Latihan Novel Tirani dan Leftenan Adnan SPM 2

Soalan: Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, huraikan konflik yang dihadapi oleh watak utama dan cara watak utama menyelesaikan konflik tersebut. [8 markah]

Jawapan:

Berdasarakan novel yang telah saya kaji, iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh watak utama dan cara watak tersebut menyelesaikan konflik tersebut.

Antara konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam novel tersebut termasuklah konflik kedatangan penjajah ke negara. Misalnya, semasa Perang Dunia Kedua, tentera Jepun membuat persediaan untuk menjajah Tanah Melayu. Leftenan Adnan brasa bimbang terhadap keselamatan ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi, isterinya, Sophia sedang mengandung anak mereka yang ketiga. Leftenan Adnan telah menyelesaikan konflik tersebut dengan cara menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Sungai Ramal, Kajang. Dengan ini, keselamatan mereka dapat dijamin. Masa ini merupakan kali terakhir beliau berjumpa dengan keluarganya.

Berdasarkan novel yang telah saya kaji, iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh watak utama dan cara watak tersebut menyelesaikan konflik tersebut.

Antara konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam novel tersebut termasuklah konflik perasaan cemburu seorang suami. Tamsilnya, akibat perasaan cemburu, Zahid telah menuduh Waheeda bermain kayu tiga, nusyuz dan ingkar. Zahid juga tidak mengaku anak yang dilahirkan Waheeda sebagai anak kandungnya setelah melihat ciri-ciri fizikal yang terdapat pada bayi tersebut. Waheeda telah menyelesaikan konflik ini dengan cara membuat ujian DNA yang membuktikan bahawa Izzati ialah anak kandung Zahid. Waheeda telah menunjukkan ujian DNA kepada Zahid.

Latihan Novel Tirani SPM 2

Soalan: Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan peristiwa yang dapat dijadikan teladan. [7 markah]

Jawapan:

                  Berdasarkan novel yang saya kaji, iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat beberapa peristiwa yang dapat dijadikan teladan.

                  Antara peristiwa yang dapat dijadikan teladan termasuklah peristiwa kejayaan meluaskan empayar perniagaan. Misalnya, Waheeda Nurlyana telah membeli dan mengusahakan Chalet Iwana-Iwani, milik Pak Cik Abdul Aziz yang terletak di Cameron Highlands, dengan menukarkan nama chalet tersebut kepada Aya-Sajinah. Chalet itu diusahakan oleh Waheeda dengan abangnya, Ghazi. Waheeda telah membeli chalet tersebut selepas diceraikan oleh suaminya, Zahid.

                  Selain itu, peristiwa yang dapat dijadikan teladan ialah peristiwa penginsafan terhadap kesalahan diri. Tamsilnya, ketika melancong di Cameron Highlands dan menginap di Chalet Iwana-Iwani, Zahid telah meluahkan penyesalannya terhadap perkara yang dilakukan kepada Waheeda dan Izzati, kepada rakannya. Kemudian, Zahid telah berjumpa dengan Waheeda dan Izzati di chalet tersebut dan meminta maaf kepada mereka. Izzati telah memujuk Waheeda untuk memaafkan kesalahan bapanya.

Langkah- Langkah Pelbagai Pihak Untuk Meningkatkan Semangat Patriotik dalam Kalangan Remaja ( Karangan Panjang SPM)

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa semangat patriotik mesti disemai dalam jiwa setiap warganegara Malaysia. Semangat patriotik dapat ditakrifkan sebagai perasaan cinta yang mendalam dan berkekalan terhadap tanah air serta sanggup berkorban demi menjaga kepentingan negara.  Setiap anggota masyarakat seyogianya mencintai tanah air dan menghargai jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara kita. Walaubagaimanapun, semangat patriotik tidak begitu utuh dalam kalangan remaja hari ini. Hal ini amat membimbangkan pelbagai pihak, terutamanya para pemimpin negara kerana remaja merupakan golongan rakyat yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara. ” Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia.” Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis daripada mantan Presiden Indonesia, Soekarno menggambarkan kepentingan remaja dalam pentadbiran sesebuah negara. Kebanyakan remaja tidak mempunyai semangat patriotik kerana mereka telah dilahirkan di sebuah negara yang sudah mengenal erti kebebasan. Oleh hal yang demikian, mereka tidak dapat memahami kesusahan dan pengorbanan para nasionalis dahulu untuk mencapai kemerdekaan. Mereka juga tidak mengalami penindasan oleh tentera Jepun seperti yang dihadapi oleh rakyat Tanah Melayu pada tahun 1942. Meskipun remaja diajar matapelajaran Sejarah dalam sukatan sekolah, mereka tidak mendapat impak yang besar kerana tidak hidup pada era tersebut. Kesannya ialah kedaulatan negara akan tergugat pada masa depan. Hasil ekonomi negara juga akan dieksploitasi oleh kuasa asing. Persoalan yang sering bermain di benak orang ialah apakah langkah-langkah pelbagai pihak untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja?

                                    Bunga cendana, bunga teratai, idea pertama pembuka tirai. Sudah terang lagi bersuluh bahawa langkah utama pihak kerajaan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja adalah menggalakkan remaja menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Hal ini dikatakan demikian kerana tentatif program ini dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawad kaki, kursus menembak dan aktiviti berkumpulan. Program ini dianjurkan khususnya bagi para lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). Pihak kerajaan mesti berusaha menarik minat remaja untuk melibatkan diri dalam program ini. Misalnya, pihak kerajaan harus menghantar wakil kerajaan ke sekolah-sekolah untuk mempromosikan program ini kepada para remaja. Wakil tersebut mesti menyediakan skrip pembentangan yang menarik supaya mengambil perhatian remaja. Bukan itu sahaja, malah pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen ” Sertailah Program Latihan Khidmat Negara”. Kempen ini wajar diadakan secara besar-besaran di setiap negeri. Implikasinya, remaja dapat mempelajari pelbagai nilai-nilai murni daripada program ini seperti nilai bertanggungjawab, nilai bekerjasama dan nilai hormat-menghormati. Remaja juga dapat merasakan semangat tokoh-tokoh dahulu yang berjuang demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka. Semangat mereka yang berkobar-kobar akan turut mengalir dalam darah para remaja. Semangat patriotik ini pula dapat digunakan oleh remaja ke arah positif seperti bekerja keras untuk memajukan negara bak kata pepatah belum suruh sudah pergi, belum panggil sudah datang. Program ini juga akan menyedarkan remaja tentang peranan mereka sebagai aset negara dan persediaan yang perlu dilakukan untuk memikul tanggungjawab ini. Izharlah bahawa, pihak kerajaan sewajarnya menggalakkan remaja untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara bagi meningkatkan semangat patriotik mereka.

                                    Bertitik tolak daripada itu, langkah yang dapat diambil oleh pihak sekolah pula bagi meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja adalah menganjurkan program dan menubuhkan persatuan yang berkaitan dengan kemerdekaan. Pihak sekolah semestinya mengadakan ‘ Bulan Kemerdekaan’ pada setiap bulan Ogos, bersempena dengan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos. Program ini terdiri daripada pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan menyedarkan remaja tentang kemaslahatan merdeka. Tamsilnya, pertandingan mendeklamasi sajak, pertandingan bercerita, forum, pertandingan menulis esei, pertandingan mencipta video dan pertandingan fotografi yang berkaitan dengan patriotisme. Semua aktiviti ini dapat merangsang minat remaja untuk mempelajari tentang peristiwa kemerdekaan dengan lebih lanjut. Bukan itu sahaja, malah peristiwa kemerdekaan akan segar dalam minda remaja. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu yang berbunyi ‘ tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ . Lebih-lebih lagi, pihak sekolah wajar menubuhkan persatuan yang berkaitan dengan patriotisme. Hal ini dikatakan demikian kerana, remaja lebih cenderung mempelajari perkara baharu secara berkumpulan berbanding dengan secara sendirian. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh menubuhkan persatuan sejarah dan persatuan patriotisme. Ahli-ahli persatuan sejarah boleh menonton filem patriotik. Penggambaran perit getir para pejuang kemerdekaan negara pasti mengajar mereka erti bersyukur atas nikmat kemerdekaan. Ahli-ahli persatuan patriotisme pula melakukan perancangan untuk sambutan ‘Bulan Kemerdekaan’ pada peringkat sekolah. Pendek kata, salah satu langkah pihak sekolah untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja adalah menganjurkan program dan menubuhkan persatuan yang berkaitan dengan kemerdekaan.

                                    Jika kita tinjau dari sudut yang lain, pihak yang harus memikul tugas meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja ialah pihak ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan guru pertama remaja. Anak-anak itu ibarat sehelai kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Ibu bapa sebagai tunjang utama negara mesti mengambil langkah menanam kesedaran patriotik dalam jiwa remaja sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekiranya remaja didedahkan kepada ilmu sejarah sejak kecil, mereka akan menyimpan ilmu ini sehingga menjejaki alam dewasa. Misalnya, ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan cerita rakyat yang berunusurkan sejarah. Hal ini adalah lebih baik daripada menceritakan mereka tentang kisah-kisah dongeng dari negara Barat. Ibu bapa juga mesti memperkenalkan tokoh-tokoh berjasa kepada anak-anak seperti Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Rentap, Dol Said dan Dato’ Bahaman. Sebagai contoh yang lain, ibu bapa mesti menjadi teladan baik kepada anak-anak dengan membawa anak-anak menghayati perarakan kemerdekaan saban tahun di Dataran Merdeka. Ibu bapa juga boleh membawa keluarga melawat tempat bersejarah seperti Kota A’ Famosa, Melaka pada musim cuti sekolah. Hal ini dapat membantu remaja memahami susah payah yang dihadapi oleh nenek moyang mereka.  Natijahnya, remaja akan turut mengikut teladan ibu bapa apabila sudah mempunyai keluarga sendiri pada masa depan, bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Usaha ibu bapa itu dapat mengajar anak-anak untuk lebih mengenali warisan dan budaya negara kita supaya tidak hilang ditelan zaman. Jelaslah bahawa, penanaman kesedaran patriotik dalam jiwa remaja sejak kecil lagi oleh ibu bapa dapat meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja.

                                    Selanjutnya, pihak yang memainkan peranan mustahak dalam meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja ialah pihak media massa. Pihak media massa harus mengambil langkah menyiarkan rancangan, program dan memuatnaik buku elektronik berkaitan dengan nilai cinta akan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap golongan remaja masa kini. Hal ini disebabkan oleh remaja yang lazim meluangkan masa menggunakan telefon pintar, menonton televisyen atau melayari laman sesawang. Remaja hari ini lebih cenderung membaca buku elektronik daripada membaca buku sebenar.  Tamsilnya, media massa mesti menayangkan filem yang berkaitan dengan semangat patriotik seperti ‘Bukit Kepong’, ‘ Paloh’, ‘ Leftenan Adnan’ dan ‘ Malay Regiment’. Filem-filem ini boleh ditayangkan di televisyen pada waktu petang supaya boleh ditonton oleh remaja selepas pulang dari sekolah. Televisyen juga boleh menyiarkan dokumentari patriotik. Akibatnya, remaja dapat meningkatkan rasa kebanggaan menjadi warganegara Malaysia di samping mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Satu contoh lain ialah media massa boleh memuatnaik buku-buku elektronik tentang tokoh negara ke laman sesawang. Kesannya, remaja dapat mengakses buku-buku tersebut dengan mudah serta membacanya di mana-mana tempat mereka berada. Remaja juga dapat berkongsi buku tersebut dengan rakan-rakannya melalui aplikasi ‘Whatsapp’ dan ‘Facebook’. Filem dan buku patriotik ini dapat memupuk nilai kesyukuran dalam diri remaja dan menyedarkan remaja bahawa hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri. Izharnya, langkah yang mesti diambil oleh pihak media massa untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja adalah menyiarkan rancangan, program dan memuatnaik buku elektronik berkaitan dengan nilai cinta akan negara.

                                    Tuntasnya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja. Kita tidak boleh mengharapkan satu pihak semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan semangat patriotik dalam kalangan remaja ditingkatkan. Sekiranya masalah ini tidak ditangani secara bijak dan berhemat ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak, sudah pasti usaha untuk membentuk remaja yang berpatriotik dan mencintai tanah air akan menjadi angan-angan Mat Jenin. Jika hal ini dibiarkan berlarutan maka tidak hairanlah impian negara untuk menjadi negara yang disanjungi oleh mata dunia tidak kesampaian. Diharapkan komitmen daripada semua rakyat Malaysia dapat memastikan remaja kita menjadi netizen yang sanggup berkorban demi mempertahankan negara serta bijak mengatur strategi menempa nama Malaysia di persada dunia supaya negara kita menjadi ibarat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara asing. Remaja yang menjadi tulang belakang dan generasi pelapis negara pada masa hadapan diharapkan mempunyai jati diri yang mantap untuk menangkis anasir-anasir negatif yang mengancam kedaulatan negara. Jika kumpulan generasi ini dapat dilahirkan, sudah pasti mereka dapat menjadi kebanggaan masyarakat dan negara hingga puncak antarabangsa.

Peranan Ibu Bapa untuk Memupuk Minat Membaca kepada Anak-Anak (Karangan Panjang SPM)

Anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah coraknya. Jika biru, birulah coraknya. Pencorakan ini amat penting dalam menentukan sanubari anak-anak pada masa hadapan. Amalan membaca merupakan kemahiran yang diajar kepada anak pada usia 3 atau 4 tahun. Kemahiran ini diberikan keutamaan melebihi kemahiran lain seperti melukis atau berlari. Hal ini dikatakan demikian kerana, amalan membaca amat mustahak kepada setiap insan. Cogan kata, “ membaca jambatan ilmu” dapat membuktikan sejauh manakah amalan membaca mempengaruhi kehidupan kita. Anak-anak menimba ilmu pengetahuan dengan membaca. Ilmu itu amat penting bagi memastikan warganegara kita setaraf dengan pemimpin negara luar bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Memetik kata sarjana, “ Jika ingin lihat masa hadapan sebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Generasi mudalah yang mengorak langkah ke arah mengharumkan nama negara di persada dunia pada suatu hari nanti. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk memupuk minat membaca kepada anak-anak?

Sudah terang lagi bersuluh bahawa antara peranan ibu bapa untuk memupuk minat membaca kepada anak-anak adalah dengan mengajar amalan membaca kepada anak-anak di rumah. Ibu bapa tidak seyogianya menunggu hingga anak-anak diberikan pendidikan prasekolah semata-mata untuk memupuk minat membaca dalam peribadi anak-anak. Ibu bapa merupakan profesor pertama anak-anak dan rumah merupakan universiti pertama. Ibu bapa seharusnya mengorbankan masa bekerja di pejabat untuk mendidik anak di rumah. Pertama sekali, ibu bapa wajar bermula dengan abjad. Abjad merupakan perkara yang pertama dipelajari oleh anak-anak sebelum menguasai sesuatu bahasa sepenuhnya. Misalnya, ibu bapa menyediakan sebuah buku untuk anak-anak menulis 26 abjad itu saban hari. Dengan ini, anak-anak dapat mempelajari abjad dengan cepat dan efektif. Setelah anak-anak menguasai abjad, ibu bapa boleh memperkenalkan konsep perkataan. Konsep ini akan memakan masa yang lebih lama berbanding dengan pembelajaran abjad. Hal ini dikatakan demikian keran, konsep perkataan kelihatan sangat kompleks kepada seorang kanak-kanak . Oleh itu, ibu bapa mesti bersikap sabar dan toleransi ketika mendidik anak-anak. Selepas beberapa bulan atau setahun, ibu bapa boleh mula mengajar anak-anak menulis ayat yang lengkap. Natijahnya, anak-anak secara automatik akan berminat kepada amalan membaca kerana kemahiran itulah yang dipelajari dan dipraktikkan sejak kecil. Izharlah bahawa, ibu bapa berperanan penting dalam mengajar amalan membaca dari rumah uituk memupuk minat membaca kepada anak-anak.

Bertitik tolak daripada itu, itu bapa berperanan membeli buku cerita untuk anak-anak. Ibu bapa tidak harus lebih mementingkan tabungan daripada menggunakan wang tersebut untuk membeli buku cerita untuk anak-anak. Ibu bapa patut membeli buku cerita dan kemudian membacanya kepada anak-anak. Buku cerita tersebut yang sarat dengan gambar-gambar menarik dan berwarna-warni, secara tidak langsung akan menarik perhatian anak-anak. Anak-anak juga akan tertarik dengan watak-watak dan plot cerita tersebut. Selepas ibu bapa membacakan cerita itu kepada anak-anak, mereka digalakkan bertanya soalan kepada anak-anak tentang cerita tersebut. Ibu bapa boleh mengemukakan persoalan tentang perwatakan watak. peleraian cerita dan juga bahagian-bahagian yang diminati atau tidak disukai oleh anak-anak. Perbincangan sedemikian akan mendorong anak-anak berfikir dan mentafsirkan perasaan dan pendapat sendiri serta memahami cerita dengan lebih mendalam. Ibu bapa mesti membelikan buku cerita untuk anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, ” Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Pendek kata. pembelian buku cerita untuk anak-anak akan menyemai minat mereka untuk membaca.

                  Selanjutnya, peranan ibu bapa dalam menimbulkan minat anak-anak terhadap amalan membaca adalah dengan membawa anak-anak berkunjung ke pameran buku pada musim cuti sekolah. Pesta buku atau pameran buku sentiasa dianjurkan oleh kedai buku yang besar seperti POPULAR, MPH dan kedai buku Hasani. Pameran buku ini diadakan di pusat-pusat konvensyen yang mampu memuatkan beribu-ribu orang sekali gus seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ( KLCC ). Apabila anak-anak dibawa ke pameran buku seperti ini, mereka akan didedahkan kepada kepelbagaiaan jenis buku yang wujud. Mereka dapat meneroka minat mereka dalam pelbagai bidang. Mereka didedahkan kepada buku dengan gambar, buku tanpa gambar, majalah, novel, puisi, sajak, gurindam, pantuk, kamus dan ensiklopedia. Dunia mereka itu yang dahulu kecil akan berkembang. Mereka akan lebih berilmu pengetahuan. Bukan itu sahaja, malah anak-anak dapat mengetahui kecenderungan mereka. Hal ini dapat membantu mereka memilih jalan hidup dari segi pekerjaan. Motivasi anak-anak untuk menjadi seorang yang berguna dapat dilahirkan. Akibatnya, anak-anak membesar untuk menjadi seorang warganegara yang berwawasan untuk membangunkan negara. Izharnya, peranan ibu bapa untuk memupuk minat membaca dlam jiwa anak-anak, termasuklah membawa mereka berkunjung ke pesta buku.

                  Akhir sekali, ibu bapa harus membeli surat khabar saban hari sebagai usaha menggalakkan amalan membaca kepada anak-anak. Ibu bapa seharusnya membelikan surat khabar bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Hal ini dapat memastikan anak-anak menguasai bahasa rasmi negara serta bahasa Inggeris yang merupakan bahasa sejagat. Tamsilnya, ibu bapa mesti menggalakkan anak-anak untuk membaca sekurangkurangnya tiga halaman surat khabar saban hari. Dengan ini, anak-anak akan lebih peka terhadap isu-isu yang sedang melanda dunia moden seperti isu-isu kemanusiaan, pencemaran alam sekitar dan pergolakan politik. Sekiranya anak-anak tidak terdedah kepada berita terkini, mereka akan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Jelaslah bahawa, pembelian surat khabar oleh ibu bapa dapat memupuk minat anak-anak dalam membaca.

                  Tuntasnya, bulan semkin terang bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang mustahak untuk memupuk minat membaca kepada anak-anak. Oleh itu, ibu bapa mesti berusaha untuk menanamkan minat membaca dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi. Namun demikian, kita tidak haruslah mengharapkan usaha satu pihak semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Jadi, semua pihak perlu bersinergi ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan. Sekiranya generasi ini tidak dapat dilahirkan, negara kita tidak dapat bersaing dengan negara maju kerana kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Andai kata amalan membaca tidak dipupuk dalam sanubari anak-anak, nescaya perkembangan negara dan bangsa akan terbantut. Oleh hal yang demikian, langkah proaktif harus diambil oleh ibu bapa dan pihak lain untuk merealisasikan impian negara untuk menempa nama di persada dunia dan bukan seperti angan-angan Mat Jenin sahaja.

Latihan Novel Tirani dan Leftenan Adnan SPM

Soalan: Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan satu latar tempat yang terdapat dalam setiap novel terse but. [ 8 markah ]

Jawapan:

Berdasarkan novel yang teal says Kaji, iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib, terdapat beberapa latar tempat dalam novel tersebut.

Antara latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut ialah Pangkalan Tentera Pasir Panjang. Contoh perisitiwanya ialah Adnan memulakan tugas barunya di Pasir Panjang. Pangkalan Tentera Pasir Panjang juga merupakan kubu yang terakhir dipertahankan oley askar Melayu semasa tentera Jepun menyerang.

Berdasarkan novel yang telah saya kaji, iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat beberapa latar tempat dalam novel tersebut.

Antara latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut ialah Silicon Medical Centre (SMC) Singapura. Contoh peristiwanya ialah Waheeda mendapatkan pembedahan plastik mata dan hidung yang dijalankan oleh Dr. Rushdi di SMC. Waheeda mendapatkan rawatan tersebut selepas mukanya cedera para akibat diserang oleh seeekor monyet Belanda di chaletnya, Tajau Emas.